ADAB-ADAB DENGAN SYEIKH MURSYID/MURABBI DAN ADAB DENGAN TEMAN SEPERGURUAN

Adab Dengan Syeikh

Syeikh yang benar ialah bayang RasuluLLah s.a.w dan mereka adalah pewaris Nur Baginda setelah kewafatannya.

Mendapat syeikh yang benar adalah di antara anugerah Allah yang terbesar, justeru nikmat ini sewajibnya disyukuri dengan sebaiknya.

Bentuk kesyukuran itu ialah dengan beradab dengan mereka. Syeikh Ibnu Ajibah r.a menggariskan di sana ada 8 adab-adab utama yang wajib dipelihara bersama mereka, 4 adab yang zahir dan 4 lagi adab yang batin.

Empat adab yang zahir itu ialah:-
1. Mematuhi perintahnya
2. Duduk dengan tenang dan beradab di hadapannya atau di dalam majlisnya.
3. Bersegera mengkhidmatinya sekadar kemampuan sama ada dengan harta atau jiwa raga.
4. Sentiasa menghadiri majlisnya, atau kerap bertemu dengannya kerana kekerapan bertemu dengan syeikh itu mempercepatkannya sampai ke destinasi yakni makrifat.

Sementara adab batin pula adalah seperti berikut:-
1. Meyakini kebenaran dan keahlian Syeikhnya dalam pendidikan rohani dan jiwa.

2. Mentakzimkannya dan memelihara kehormatan syeikhnya sama ada ketika ghaibnya atau hadirnya.

Keberhasilan seseorang salik itu adalah mengikut sekadar mana keyakinannya pada Syeikhnya.

Sesiapa yang tiada baginya keyakinan pada syeikhnya tiada akan berlaku peningkatan jiwanya walau telah bersuhbah selama seribu tahun sekalipun.

3. Hendaklah dia menanggalkan segala pakaian kebesaran dirinya sama ada jawatan, pangkat, ilmu dan amalnya melainkan apa yang diterimanya dari syeikhnya.

4. Tiada berpindah kepada syeikh lain melainkan dengan izin syeikhnya atau syeikhnya berkekalan melakukan perkara yang tiada lagi dapat ditakwilkan melainkan haram. Ia juga setelah disampaikan nasihat dan teguran yang sepatutnya.

Namun sayugia bagi murid itu walau telah bermufaraqah dengan syeikhnya memelihara adab sesama muslim iaitu tiada menyebar dan menjaja aib syeikhnya.

Adab Dengan Teman Seperguruan
Juga ada 4:-

1. Memelihara kehormatan mereka sama ada ketika ada bersama atau ketika tiada, tiada boleh mengumpat dan menghina serta merendah-rendahkan.

2. Memberi nasihat yang baik kepada mereka dengan membantu mengajar kalangan mereka yang jahil.

3. Merendah diri dan memberikan khidmat kepada mereka sekadar termampu.

4. Tiada mengintai-ngintai kelemahan mereka dan jika terdapat kekurangan dan kelemahan mereka hendaklah dicarikan alasan-alasan yang dapat mempositifkan kesalahan mereka itu.

Sabda RasuluLLah s.a.w:
خصلتان ليس فوقهما شيء من الخير حسن الظن بالله وحسن الظن بعباد الله
Ada dua perkara tiada sesuatupun yang dapat mengatasinya dari segi kebaikan iaitu husnu dzhan(bersangka baik) dengan Allah dan husnu dzhan dengan hamba-hamba Nya.

Perlu ditegaskan bahawa beradab dengan syeikh dan ikhwan ini bukan hanya terpakai di kalangan seperguruan sahaja tetapi juga kepada perguruan yang lain.

Para syeikh yang benar adalah satu pada hakikatnya, mereka adalah wajah-wajah hakikat RasuluLLah s.a.w. Justeru jika wajib mentakzimkan mereka dan menghormati serta berkhidmat kepada mereka.

Tiada boleh kita merendah-rendah dan membanding-bandingkan mereka, begitu juga para ulama syariat yang benar wajib dihormati dan dmuliakan mereka.

Berkata Abu Hafs: “Tasauf itu keseluruhannya adalah adab, setiap waktu itu ada adabnya, setiap hal dan maqam ada adab yang sesuai dengannya. Sesiapa yang melazimi adab nescaya akan mencapai maqam orang-orang yang wasil(makrifat).

Sesiapa yang terhalang dari memiliki adab sesungguhnya dia menjadi orang yang dijauhkan dari Nya walaupun dia menyangkakan bahawa dirinya hampir dan amalnya juga tertolak walau dia menyangka diterima.”

Sumber: Pak Chu Daz

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *