10 DASAR ILMU TASAWWUF

Sewajarnya bagi sesiapa yang ingin mempelajari sebarang ilmu hedaklah terlebih dahulu mengetahui mabadi’ atau dasar bagi ilmu tersebut.

Oleh itu, bagi ilmu tasawuf ini, ia mempunyai sepuluh mabadi’ atau dasarnya, iaitu:

(1)Pengertian Ilmu Tasawuf {Al-Had @ Definisi}

Perkataan tasawuf dari sudut bahasa diambil daripada perkataan al-safa’ yang bererti bersih dan jernih atau hening daripada sesuatu najis samada najis zahir atau najis batin.

Dan pada istilah pula ia adalah suatu ilmu untuk membersihkan diri daripada perangai-perangai atau sifat-sifat buruk yang dilambangkan kepada manusia agar meningkatkan kepada sifat-sifat yang terpuji yang dilambangkan kepada malaikat serta menumpukan ibadat kepada Allah Ta’ala dan untuk mensucikan Zat Allah Ta’ala daripada segala sifat kekurangan yang mencederakan dan mencacatkan sifat ketuhanan.

(2)Tajuk Perbahasan {Al-Madhu’}

Tajuk perbahasan ilmu ini adalah berkaitan dengan Zat Allah Ta’ala, dan sekalian zat makhluk yang dinafi dan difanakannya, termasuk segala maqam dan segala keadaan orang ‘arifin (orang yang sebenar-benar kenal Allah Ta’ala dari kalangan ahli tasawuf) serta jalan amalan mereka dan lain-lain lagi.

(3)Faedah {Al-Thamrah @ Hasil}

Faedah mempelajari ilmu ini adalah untuk membersihkan hati agar sampai kepada makrifat akan hak Allah Ta’ala sebagai makrifat yang sempurna untuk keselamatan di akhirat dan mendapat keredaan Allah Ta’ala serta mendapat kebahagiaan abadi.

(4)Kelebihan {Al-Fadl @ Keutamaan}

Ilmu tasawuf adalah semulia-mulia ilmu agama, kerana ia asal dan asas kepada ilmu agama dan sebahagian daripadanya adalah ilmu tauhid bahkan ia adalah pati bagi ilmu tauhid.

(5)Kedudukan Ilmu Tasawuf Dengan Ilmu-Ilmu Lain {Nisbah @ Nilai Ilmu}

Ilmu Tasawuf merupakan salah satu daripada ilmu-ilmu agama yang tiga bahagian itu, iaitu: ilmu tauhid, ilmu fiqh dan ilmu tasawuf.

Bahkan ilmu tasawuf menguatkan ilmu tauhid dan mengheningkan ilmu fiqh. Nisbah atau misalan ilmu tasawuf kepada ilmu-ilmu agama seperti nisbah roh bagi jasad.

(6)Asal Ilmu Tasawuf {Wadhi’ @ Peletak Dasar Ilmu}

Asal ilmu tasawuf adalah daripada Allah Ta’ala yang diwahyukan kepada Rasul-Nya Muhammad S.A.W, dan dikatakan (qil) bahawa orang yang mula-mula menyusun ilmu ini sebagai satu ilmu yang berasingan adalah Al-Syeikh Junaid Al-Baghdadi.

(7)Nama-Nama Lain Ilmu Tasawuf {Isim}

Selain dikenali sebagai ilmu tasawuf, ia juga dikenali sebagai ilmu qalbi, ilmu batin, ilmu laduni, ilmu mukasyafah, ilmu asrar, ilmu haqiqah, ilmu zauqi, ilmu wijdani, dan lain-lain lagi.

(8)Sumber Rujukan Ilmu Tasawuf {Istimdad @ Sumber @ Dasar Ilmu}

Ilmu tasawuf bersumberkan Al-Quran, hadis dan para ulama’ sufi yang amalan mereka telah mencapai darjat atau martabat yang boleh diterima kata-kata dan pendapat mereka.

(9)Hukum Mempelajari Ilmu Tasawuf {Al-Hukm}

Hukum mempelajari ilmu ini adalah fardhu ‘ain atas setiap orang mukallaf. Para ‘arifin billah berkata: “Sesiapa yang tidak mempelajari ilmu ini dikhuatiri kehidupannya diakhiri dengan suatu kesudahan yang tidak baik (Su’ al-Khatimah)”

(10)Persoalan Ilmu Tasawuf {Masail @ Masalah-Masalah Diperbicarakan}

Persoalan ilmu tasawuf ini berkaitan dengan perkara-perkara yang bersangkut paut dengan musyahadah kepada Allah Ta’ala, segala maqam dan segala keadaan golongan ‘arifin dan salihin daripada ahli tasawuf, dan juga perkara-perkara yang membincangkan tentang halangan atau gendala (‘aqabah) yang menghalang seseorang itu daripada taat kepada Allah Ta’ala serta rintangan (‘awarid) yang melintangi seseorang daripada menumpukan ketaatan kepada Allah Ta’ala dan sesuatu yang mencederakan atau merosakkan (qawadih) pahala amalan kebajikan yang dilakukan oleh seseorang kepada Allah Ta’ala.

==========

Dipetik daripada buku: “Al-Jawahir Al-Sufiyyah Huraian Kitab ‘Al-Qatr Al-Ghaithiyah Fi ‘Ilmi Al-Sufiyyah ‘ala Syariah Al-Muhammadiyyah”, m/s 1-4.

Kitab asal (Al-Qatr Al-Ghaithiyah) adalah karangan ulama besar Kedah iaitu Tuan Husin Nasir bin Muhammad Tayyib Al-Mas’udi Al-Banjari @ Tuan Husin Kedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *