ILMU RASA

“Rasa” adalah sebuah perkataan yang digunakan untuk pelbagai makna. “Rasa” tidak dapat dilihat dengan mata kasar, kerana ianya hadir di dalam diri manusia. Ia hanya dapat “dirasai”. Dipanggil juga sebagai perasaan.

Oleh kerana ia tiada dapat dilihat kerana sifatnya yang tersembunyi dalam diri maka seseorang yang ingin menzahirkannya dalam bentuk perbuatan, dipanggil sebagai “tunjuk perasaan”.

Adalah menjadi fitrah manusia untuk “merasa”. Sungguhpun ia tidak dapat dilihat, disentuh atau diketahui bentuk seginya namun “rasa” tersebut dirasai dengan pengalaman yang berbeza.

Ada yang secara biologi seperti rasa manis gula, masin garam, masam limau, pahit kopi dan sebagainya.

Ada pula secara emosi  seperti rasa  marah, rasa geram, rasa gerun, rasa sedih, rasa gembira, girang, rasa ngeri, rasa tenang, malu, rasa stress, rasa kecewa, hampa, benci, gundah gulana, tertekan, rasa gelora jiwa dan lain-lain.

Ada secara mental seperti rasa gelisah, rasa resah, keluh kesah, rasa bingung dan hairan, rasa pilu, cemas, rasa terpesona, rasa khayal, syok, bosan, nostalgia, simpati, rasa minat, rasa geli, jijik, angau dan lain-lain.

Ada secara nafsu seperti rasa bangga dan kagum diri, rasa hebat, rasa dendam, dengki, iri,  cemburu, gila bayang, angau dan lain-lain.

Ada pula secara hati seperti rasa cinta, rindu, redha, pasrah, asyik, intim, rasa yakin dan lain-lain.

Ada secara umum seperti rasa berdekatan, rasa berjauhan, rasa bersama, rasa berpisah, rasa kerdil, rasa ngam, kamcing, akrab, rasa cukup, rasa fakir, rasa hina, rasa rendah diri dan lain2.

Semua “rasa” yang dinyatakan diatas semua ini,  ada jenis rasa yang  boleh membawa 2 makna (serampang dua mata), makna pada sisi positif dan juga negatif. Contohnya benci boleh bermaksud permusuhan yang menyebabkan persengketaan dan pada sisi lain seseorang yang merasa benci kepada perbuatan maksiat yang menyebabkan dia memghindarinya.

Sesuatu “rasa” itu juga boleh digunakan untuk perkara zahir dan batin, nyata dan ghaib. Seperti rindu, rindu kepada anak2 dan juga rindu kepada akhirat.

“Rasa” didalam bahasa Arab ialah zauq, shu’ur dan istish’ar. Ilmu Tasawuf dipanggil sebagai ilmu rasa atau ilmu zauqi kerana ilmu ini mengajarkan bagaimana untuk berinteraksi dengan “rasa-rasa” diatas, bagaimana untuk mengawalnya, bagaimana menghindarinya dan  bagaimana mencapainya.

Oleh itu, walaupun ia bersifat zauqi/perasaan namun ia masih termasuk dalam konteks ilmu syariah kerana ilmu Tasawwuf adalah untuk mencapai makam Ihsan( menjadi hamba Allah seolah-olah melihat Allah, jika tidak, hendaklah merasa diri dilihatNya) dan ia juga dipanggil ilmu syar’iyyah qalbiiyyah.

Akhiran, skop “rasa” adalah sesuatu yang agama kita suruh untuk menyantuninya sebagai amal qalbi yang hendaklah wujud dalam penghayatan tauhid dan ibadah zahir. Maka pada medan makna ini, maka tiada salah jika ia difahami dengan beberapa nama iaitu ilmu rasa, tauhid zauqi, tauhid ihsani, tauhid irfani, tauhid amali dan tauhid sufi.

Ia hanyalah istilah2 yg berbeza namun maksudnya ialah sama iaitu mencapai matlamat iman, islam dan ihsan,tanpa dipisah-pisahkan.

WalLahua’lam…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *