KEKAYAAN HAKIKI APABILA BERADA DALAM LAUTAN TAUHID ❤

Pagi ini, aku teringat bait-bait kalam nasihat Ayahandaku yang sering mewarnai perjalanan hidupku dari remaja hingga saat ini. Katanya, dalam melayari kehidupan yang singkat ini, kita perlu menggunakannya dengan sebaiknya agar berada dalam kebenaran, yang paling utama kita menjaga agar setiap nafas berada ini dalam hubungan dengan Allah, bukan tertakjub kepada kuasa diri. Sentiasa ‘memandang’ Allah pada hakikat, jangan hanya terhenti pada bayangan ciptaanNya tanpa melihat akan tuan empunya bayang-bayang. Demikian juga sentiasa melihat Dia yang memberi nikmat dan dia menguji hamba-hambaNya. Tiada yang datang dari-Nya melainkan kebaikan.
.
.
Apa yang penting kita lalui kehidupan dengan cara yang baik, Allah menguji manusia dengan perasaaan dan fikiran, kerana dua perkara tersebut boleh membawa mereka gembira atau sedih. Hakikat kegembiraan dan kesedihan bukan datang dari luaran tapi faktor dalaman kita.
.
.
Ayahandaku memberi contoh, kekayaaan hakiki yang boleh membawa kebahagiaan bukan terletak pada harta atau pangkat, tapi kekayaan hati. Apabila hati manusia itu miskin dengan aqidah, mereka akan tetap akan menderita dengan pelbagai keresahan dalam kehidupan. Di sekeliling mereka seperti melihat ada mereka yang lebih kaya dan dihormati berbanding mereka, anak-anak hidup berdengki dan berseronok sahaja atau lainnya. Mereka ini jika didampingi penuh dengan permasalahan jiwa dan pemikiran.
.
.
Berlainan mereka yang hidup dalam sentiasa kaya dengan makrifat kepada Allah, segala apa jua mereka kembalikan kepada Allah dan akan mencintai apa jua takdir Allah yang berlaku terhadap mereka. Mereka akan banyak tersenyum dalam kehidupan apabila melihat semuanya bagaikan ‘gurauan’ Allah padanya. Manusia yang sebenar kaya dan bahagia ialah apabila hati mereka tiada tersangkut kepada makhluk, dunia, nafsu dan bisikan syaitan.
.
.
Mereka mematikan perasaan dalam lautan tauhid dengan membina jiwa di atas sifat redha, sabar, syukur, qanaah, ikhlas, tawadhu dan tawakal. Apabila sifat-sifat ini subur dan tumbuh dalam jiwa mereka, mereka menjalani kehidupan ini dengan santai dan gembira.
.
.
Mereka tak tahu untuk merungut malah akan bertaubat jika datang perasaan tersebut. Manusia akan miskin apabila jiwa berada dalam EMPAT perkara iaitu dunia, makhluk, syaitan dan nafsu ammarah. Hidup mereka akan sentiasa memikirkan hal kehidupan dunia, perasaan dan pandangan manusia, bisikan syaitan yang mengajak kepada syirik dan menghembuskan dengki, dendam, kemarahan, kebencian dan kesombongan, nafsu yang jahat yang tiada mahu redha, patuh, syukur dan cinta kepada Allah.
.
.
Rasulullah saw datang mengajar kita agar memburu kekayaaan yang hakiki dengan tauhid dan makrifat kepada Allah serta hidup berkasih sayang. Dengan makrifat yang kukuh, manusia itu dapat menguruskan perasaannya dengan baik dalam menghadapi pelbagai situasi. Cinta dan makrifat kepada Allah membawa jiwanya terbang ke alam lahut, mereka bebas dari kesempitan dan keterikatan jiwa dengan dunia, makhluk, syaitan dan nafsu.
.
.
Ramai manusia mengambil jalan membunuh diri kerana merasakan kematian akan membebaskan mereka dari segala kesengsaraan ini, padahal jalan yang terbaik ialah membunuh jiwa kehidupan ini menuju Allah.
.
.
Perjalanan “mematikan diri kamu sebelum kamu mati” yakni jiwa kita sudah mati dengan dunia, tiada apa yang kita kehendaki di dunia ini melainkan mencari cinta dan Redha Allah.
.
.
Jalan kematian jiwa ini diperolehi dengan faham tentang nafi dan isbat dan matikan diri dalam nafi dan isbat, banyakkan tenggelam diri kepada Allah dengan banyakkan zikir samada lisan atau khafi, tafakur yang mendalam, solat yang khusyu’ dan sentiasa syuhud kepada Allah. Kehidupan yang tiada mahu terlalu difikirkan dan berbimbang dengannya. Kehidupan banyak diserahkan kepada Allah dalam apa jua sebagaimana doa Siti Fatemah ” Ya Allah, aku serahkan kehidupan ku ini pada Mu, jangan kau biarkan aku walau sekelup mata, dan perbaiki lah smeua urusan ku”.
.
.
Pesan Ayahanda ku lagi, “didiklah dirimu menyayangi apa jua, tapi didik dirimu juga boleh menerima dibenci, dihina, dipulau ,difitnah dan kehilangan mereka yang disayangi. Begitu juga dengan segala kelebihan yang dimilki, kita juga belajar mendidik diri dengan kehilangannya jika ditakdirkan. Kehidupan siang dan malam, manusia melalui dengan penuh kenikmatan kerana mereka dilatih untuk melaluinya sejak lahir lagi hingga bagaikan ia tiada memberi kesan”.
.
.
Begitulah kehidupan ini, kita perlu belajar menjadi bumi yang sedia menerima cahaya dan kegelapan, hujan dan kemarau.
.
.
Rasulullah s.a.w sebagai tauladan kepada insan, disunnahkan Allah Baginda melalui hal tersebut pada hal Allah boleh meniadakan, daripada seorang yang disayangi oleh saudara maranya dan masyarakat, menjadi manusia yang dihina, dipulau, difitnah dan dibenci. Rasulullah saw kehilangan insan tercinta seperti Siti Khadijah, Saidina Hamzah, Abu Talib, anak Baginda Ibrahim dan para sahabatnya.
.
.
Nabi Ayub as menjadi contoh seorang yang memiliki jiwa yang bahgia lantaran kaya dengan Allah. Dirinya yang asalnya kaya harta, anak yang ramai, isteri yang ramai, pengikut yang ramai, dimuliakan semua org dan beberapa kelebihan lagi, semuanya hilang apabila Allah memberi penyakit kulit kepadanya. Baginda tenang melaluinya dengan penuh keredhaan hingga iblis berputus asa dengannya. Akhirnya segala yang hilang itu dikembalikan kepadanya malah bertambah lagi nikmatnya.
.
.
Jadikan para Nabi alaihi solatu wassalam
sebagai rujukan dan tauladan dalam apa jua kehidupan.
.
.
Allah boleh memberi dan boleh menghilangkannya jika dikehendaki. Kita wajib belajar melatih diri dengan dua keadaan ini, mensyukuri dengan kenikmatan dan bersabar dgn kesakitan.
.
.
Justeru itu Ayahanda juga berpesan kepada aku, katanya beliau mahukan anak-anak mendidik diri menjadi hati bagaikan kepingan besi yang kuat dan tiada mudah lemah, sensitif dalam apa jua. Marah, merajuk, terasa hati, sedih, kecewa adalah fitrah insan tetapi jika tidak dirawati, ia menjadi racun yang lebih bisa dari patukan ular, ia akan membawa kelemahan, kerosakan dan kerugian kepada diri sendiri, keluarga, perjuangan dan ummah.
.
.
Salah satu sifat jemaah akhir zaman yang disabda oleh Rasulullah s.a.w;

“Akan datang Panji-panji hitam di akhir zaman dari Timur, seolah-olah hati mereka adalah kepingan-kepingan besi. Sesiapa yang mendengar tentang mereka, hendaklah datang kepada mereka dan berbaiah lah kepada mereka, sekalipun terpaksa merangkak di atas salji” (Al-Hafiz Abu Nuaim).
.
.
Ujian perjuangan cinta ialah kita boleh kehilangan orang yang dicintai dan dipercayai, sentiasa mengajar diri menerima hal ini agar tiada merasa kecewa apabila kehilangan, menerima secara positif apabila itulah keputusan Allah. Ia ada hikmah yang tiada kita ketahui. Allah jua yang tahu dalam rahsiaNya.

Semoga difahami.

Oleh : Angah Sunan

SILA SHARE jika bermanfaat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *