CARA MELAKUKAN TAWAF WADA’

DEFINISI: Ia adalah tawaf selamat tinggal atau atau tawaf perpisahan apabila seseorang berniat untuk meninggalkan kota Mekah yang mana safar tersebut melebihi 2 marhalah(81km).

HUKUM: Wajib bagi jemaah haji dan jemaah umrah.

Walau bagaimanapun, untuk jemaah umrah ada pendapat ulama bahawa ia adalah sunat, dan ianya tidak termasuk rukun umrah. Saya sendiri lebih cenderung berpegang kepada pendapat ini yang mengatakan hukumnya sunat TETAPI amat menggalakkan jemaah umrah untuk tetap melakukannya sebagai tanda penghormatan kepada Baitullah Ka’bah sebelum pulang ke tanahair.

Untuk yang berpegang bhwa tawaf wada’ hukumnya wajib bagi jemaah umrah, maka tidak melakukan tawaf wada’ ataupun dia melakukan sesuatu yang membatalkan tawaf wada’ setelah mengerjakannya lalu tak sempat mengulanginya, maka dia telah melakukan dosa dan wajib dikenakan dam iaitu seekor kambing.

Untuk yang berpegang bhwa tawaf wada’ hukumnya sunat, maka tidak wajib bayar dam sekiranya dia tidak melakukannya atau membuat perkara2 yang boleh membatalkan tawaf wada’. Sungguhpun tidak ada dam, namun dia terluput dari mendapat pahalayang besar ibadah tawaf wada’.

CARA: Bertawaf seperti biasa dengan niat “Sahaja aku mengerjakan tawaf wada’ tujuh keliling kerana Allah Ta’ala, terimalah ibadah ini wahai Allah”. Wajib dalam keadaan wuduk dan tidak perlu berpakaian ihram atau ke miqat.

Tidak wajib untuk meninggalkan Ka’bah dalam keadaan berundur namun jika seseorang ingin melakukan sedemikian kerana rasa cinta, penghormatan dan pemuliaan kepada Ka’bah maka tidak mengapa.

Perempuan yang haid tidak dibolehkan melakukan tawaf wada’. Sebagai ganti bolehlah berdiri di hadapan pintu Masjidil Haram, beristilam(melambai tangan) dan berdoa.

PENGECUALIAN TAWAF WADA’ (tidak berdosa dan tidak dikenakan Dam)

– Perempuan yang kedatangan haid atau nifas.

– Perempuan yang didatangi darah istihadhah( darah penyakit) pada lazimnya dia haid.

– Orang luka yang mengeluarkan banyak darah.

– Orang yang tidak mendapat air atau tanah untuk mengangkat hadas besar.

– Orang yang takut terancam nyawa, kehormatan diri atau harta bendanya.

– Orang yang takut ditinggalkan kawan.

– Orang yang berpenyakit salisalbaul (sering keluar air kencing) atau yang seumpamanya.

– Orang yang dipaksa meninggalkan tawaf.

– Orang yang takut kepada peminta hutang dalam keadaan dia benar-benar tidak berupaya membayar hutangnya.

– Orang tua yang terpaksa dipimpin atau diusung kerana uzur.

PERKARA YANG TIDAK BOLEH DILAKUKAN

Melakukan perkara-perkara dibawah ini akan membatalkan tawaf wada’ dan hendaklah dia mengulanginya sekali lagi.

1. Jarak masa yang terlalu lama antara tawaf wada’ dan bergerak keluar dari Mekah( hendaklah tidak lebih dari 5 jam jarak masa antara keduanya)

2. Mencari-cari orang untuk bersedekah(tidak mengapa bersedekah jika peminta sedekah yang datang sendiri tanpa kita mencari)

3. Melakukan solat hajat, solat taubat dan solat lain kecuali solat sunat tawaf

4. Membeli barang-barang yang tiada kaitan dengan perjalanan ke Madinah( boleh membeli tali2 atau alat kelengkapan untuk beg dan perjalanan)

5. Berlengah-lengah dalam masjid atau berwirid terlalu panjang sehingga menyebabkan jemaah lain bermasalah dan terpaksa menunggu.

6. Membeli belah ( boleh membeli makanan untuk bekalan perjalanan bukan untuk ole-ole)
7. Melakukan solat fardu dalam masjid kecuali telah iqamah.(telah masuk waktu solat ketika hendak menyempurnakan tawaf wada’).

8. Berbaring dan tidur didalam bilik.( tidak mengapa untuk mandi atau menukar pakaian dan sekadar duduk sementara menunggu kenderaan).

9. Membayar hutang yang boleh ditangguhkan.

10. Bergambar (tidak mengapa jika ambil gambar dengan kadar segera, namun ia tetap tidak digalakkan)

11. Melakukan perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan perjalanan.(seperti naik clock tower)

PERKARA YANG BOLEH DILAKUKAN SETELAH TAWAF WIDA.

-Solat sunat tawaf.

-Berdoa selepas solat sunat tawaf walaupun mengambil masa agak lama.

-Minum air Zamzam sepuas-puasnya.

-Menunaikan solat fardu dalam masjid haram jika telah iqamah.

-Membeli bekalan makanan untuk keperluan perjalanan.

-Melakukan perkara yang mempunyai hubungan langsung dengan musafir seperti menunggu bas, mengemas dan mengambil beg dalam bilik.

-Makan dan minum dalam hotel (sekadar keperluan).

-Melakukan perkara yang tiada hubungan langsung dengan musafir tetapi wajib dilakukan kerana hajat dan keperluan masalah khusus dan umum seperti mencari suami/ isteri & keluarga yang hilang, mencari barang hilang dan menziarahi orang sakit.

-Mengucup Hajarul Aswad, pergi ke Multazam, Hijr Ismail, Maqam Ibrahim, Pintu Ka’bah, dan mizab(jika berkesempatan) .

– Qadha hajat di tandas Masjidil Haram atau tandas hotel termasuk bilik penginapan.

Semoga Allah menerima amalan kita semua dan mempermudahkan untuk menjadi tetamu Nya setiap masa. Amin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *