Bersihkan hadas bathinmu.. Bahagian 2

Berkata Al-Habib Ali al-Jufri حفظه الله (Bah. 2):

Hati yg terpaut kepada dunia adalah hati yg terkena hadas atau najis. Ia mesti disucikan dengan “air ghaib”. Dimaksudkan dgn air ghaib ialah limpahan cahaya Ilahi ke dlm rohani yg disebabkan tazkiyatun nafs (penyucian jiwa) dan tashih al-wijhah(memperbetulkan fokus hati)

Tujuan hati dibersihkan dgn “air ghaib” adalah supaya hati itu disucikan sesuci2nya dari segala kotoran dunia yg melekat padanya agar hati tersebut teralih dari terpaut dengan dunia kepada terpaut kpd Allah. Sehingga hatinya hanya menyaksikan Allah semata-mata.

Seseorang yg memiliki kesucian “rahsia” hatinya(ذو السر) dan jernih cermin qalbunya iaitu orang yang menyaksikan bhwa alam pd hakikat asalnya ialah ‘tiada’, maka hendaklah dia sentiasa berwudhu dgn air ghaib. Jika dia tidak sampai ke tahap penyaksian yg sedemikian maka hendaklah dia ber”tayammum” dgn debu tanah.

Pada diri manusia, terdiri daripada beberapa perkara. Yg pertama ialah jasad iaitu zahir badan manusia. Yg kedua ialah aqal, ianya adalah tempat menyimpan ilmu syariah dan bertafakur terhadap alam ini agar hasil tafakkur dihantar ke hati supaya hati itu terangkat tinggi disisi Allah.

Yg ketiga ialah nafsu, ianya adalah tempat tersimpannya keinginan dan pencetus motivasi dalaman yg dipanggil sebagai daya syahwat dan marah. Ianya mempunyai 7 tingkatan yg mana Allah telah menjadikan tazkiah (penyucian hati) sebagai wasilah untuk meningkatkan martabat nafsu. Seandainya ia tidak dibersihkan dari keinginan2 yg buruk maka nafsu itu akan sentiasa berada pada tingkatan yg paling bawah lalu hal demikian menjadi hijab antaranya dgn Allah.

Yg keempat ialah hati, yg dimaksudkan dgn hati disini bukan gumpalan daging dlm badan manusia yg zahir, sebaliknya ianya adalah Latifah Rahmaniah iaitu sesuatu yg halus bersifat cahaya dan bernisbah ketuhanan. Kesucian hati boleh berubah2 berdasarkan apa yg disalurkan kepadanya oleh jasad, akal dan nafsu. Hati amat berkait rapat dengan roh manusia.

Yg kelima ialah roh, ia adalah rahsia tiupan Allah, ia tempat menyimpan cinta yg hakiki dan makrifat(mengenal) kpd Allah. Aqal hanya mampu untuk mendapatkan petunjuk kepada makrifat (al-istidlal ‘ala wujudiLlah) namun tempat sebenar makrifat adalah roh manusia.

Roh mempunyai hubungan cinta dgn Allah, sejak awal penciptaannya, ia telah berbicara dgn Allah tanpa perantara, ia mendengar perbicaraan Allah secara langsung, ianya berlaku di alam roh ketika ditanya Alastu bi Robbikum(Bukankah Aku Tuhanmu?) dan roh kita semua menjawab “Bahkan kami saksikan”.

Sejak roh menyaksikan keindahan Allah, bermulalah roh tenggelam dalam percintaanNya. Segala keindahan yg dilihat kita didunia ini menjadikan roh kita tertarik dgn keindahan tersebut kerana pengalaman asli roh yg pernah menyaksikan keindahan Allah.

Demikian juga didunia ini kita tertarik dgn kemerduan suara seseorang, hal itu kerana roh kita telah berpengalaman mendengar bicara Allah yg Maha Indah. Maka roh menjadi rahsia penyimpan keindahan Allah. (سر جمال الله).

Yg keenam ialah “rahsia” (ّالسِر). Ianya adalah umpama cermin yg menyerap cahaya Allah. Seseorang yg bersih aqalnya maka akn bersih hatinya, apabila bersih hatinya maka akan bersih pula rohnya. Roh yg bersih menyebabkan cermin rahsia menangkap cahaya Ilahi(tajalliyat anwariLlah) sehingga matahatinya menyaksikan Allah.

Permisalannya adalah seperti air kolam yg tenang pd mlm hari memantulkan rupa bulan dengan sempurna. Bulan yg kelihatan bukan berada di air tapi oleh kerana kejernihan dan ketenangan air tersebut berupaya memantulkan rupa lingkaran bulan dengan baik. Begitulah perumpamaan hati yg bersih, ia dapat menangkap pantulan Cahaya Allah dengan lebih ketara.

Seseorang yang masih belum mencapai “rahsia” dalam dirinya dan tidak dapat berwudhu dengan air ghaib(kerana sakit) maka hendaklah bertayammum untuk sucikan hatinya dengan tanah. Yang dimaksudkan dengan “tanah” disini ialah isyarat kepada susah payah dan mujahadah melawan hawa nafsu dgn lbih giat lagi merawat penyakit hatinya. Dia perlu lebih gigih menjalani proses tazkiah dan tarbiah serta menundukkan nafsu jahatnya.

Dalam menjalani pertarungan dengan nafsu tersebut, meskipun seseorang tidak sempat mencapai maqam rohani yg tinggi didunia ini, lalu maut datang menjemput, maka dia tetap akan digolongkan dikalangan para awliya’ di akhirat nanti. Kerana hati yg benar2 jujur dengan Allah( الصادق مع الله) dalam hal pembersihan hatinya, sekurang2nya dia akan dikurniakan kesudahan hidup yg baik(husnul khatimah) disebabkan dia memang berusaha untuk memperbaiki hubungannya dengan Allah.

Unsur paling utama pada diri manusia ialah roh. Roh-lah yang telah menyaksikan Allah sebelum datang ke alam dunia. Oleh itu, roh adalah imam manakala makmumnya ialah akal, nafsu, hati dan jasad. Ketika roh ditiupkan kedalam jasad maka lidah hendaklah mengucap syahadah (penyaksian) diatas apa yg telah disaksikan oleh imamnya, aqal pula memahami apa yg diucapkan, nafsu tunduk kepada penyaksian tersebut, jasad menurut tuntutan disebalik penyaksian dan hati merasa yakin dengan hakikat penyaksian.

Oleh itu, hendaklah utamakan roh dan mengedepankannya sebagai imam disisi Hadrat Allah. Pada awal perjalanan kerohanian, jasad dan nafsu menjadi imam manakala rohnya menjadi makmum. Namun apabila seseorang mula membersihkan pandangan hatinya dari dunia dan bermujahadah melawan nafsu jahatnya maka dia telah mengutamakan rohnya serta menjadikannya sebagai imam.

Apabila hati menjadi bersih, maka hati akan mula sedar nilai sebenar roh. Itulah diri kita yg sebenar yang terlebih dahulu menyaksikan Allah di alam roh sebelum lidah mengungkapkan syahadah penyaksian dialam dunia ini. Ketika roh ditiupkan ke jasad maka roh terpenjara dan terikat pada nafsu, aqal, qalbu dan jasad. Pengalaman roh bersama Allah akan selamanya terpendam dan tersembunyi dlm diri manusia sekiranya dia tidak mengenal dirinya sendiri.

Bersambung…

– Pengajian rawhah (part 2)di Ma’had Raudhah, 7 Disember 2019, Tebet Barat, Jakarta.

Catatan Maulana Iqbal Zain

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *